Polis Kontinjen Kuala Lumpur akan menggembur dan melakukan operasi besar-besaran ke atas pusat hiburan haram di ibu negara dalam waktu terdekat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim setakat ini pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memuktamadkan pendekatan yang akan diambil.

Menurutnya, pihaknya bersedia memberikan kerjasama penuh dengan agensi terlibat demi memastikan premis tidak berlesen dapat dihapuskan.

“Polis Kuala Lumpur sedia membantu DBKL dalam membanteras 1,000 pusat hiburan tidak berlesen yang dikenal pasti beroperasi.

“Saya mahu mengadakan perbincangan mengenai pendekatan yang akan diambil kerana saya mahu ia dilakukan secara besar-besaran walaupun mengetahui mereka mempunyai ‘tonto’ untuk melindungi aktiviti haram mereka,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Ini merupakan perhimpunan bulanan pertama diketuai beliau selepas dilantik sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu menggantikan Datuk Amar Singh Ishar Singh berkuat kuasa 23 Oktober lalu.

Jumaat lepas, Ketua Penyelaras Operasi Banteras Aktiviti Haram (BAH) Kementerian Wilayah Persekutuan mendedahkan sebanyak 1,086 pusat hiburan tidak berlesen dikenal pasti beroperasi di Kuala Lumpur.