Sejumlah 1,282 nelayan di negeri ini menerima manfaat elaun sara hidup sebanyak RM300 sebulan setakat ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz berkata nelayan yang layak menerima elaun sara hidup itu adalah mereka yang berdaftar dengan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) iaitu PNK Kuala Kedah, PNK Kuala Muda, PNK Yan, PNK Tanjung Dawai dan PNK Langkawi.

"Nelayan dari Parlimen Jerlun ini termasuk dalam PNK Kuala Kedah. Jadi, seramai 291 nelayan yang berdaftar di bawah PNK Kuala Kedah telah mendapat elaun sara hidup ini," katanya.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Jerlun itu berkata demikian kepada Bernama selepas menyampaikan elaun sara hidup itu kepada nelayan dari Parlimen berkenaan di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Othman mencadangkan supaya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengkaji semula pemberian lesen baharu kepada nelayan yang masih tidak mempunyai lesen untuk turun ke laut agar urusan permohonan lesen mereka itu dapat dipermudahkan.

"Saya berharap proses untuk mendapatkan lesen tersebut dipermudahkan kerana nelayan yang tidak mempunyai lesen ini tetap turun ke laut namun mereka tidak dapat manfaat daripada bantuan yang telah diberikan oleh kerajaan ini," katanya.

Beliau berkata langkah itu penting untuk memastikan golongan itu turut dapat menikmati sebarang bentuk bantuan daripada kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

"Ini kerana mereka perlu turun ke laut tidak kurang daripada 200 hari setahun dan perlu mempunyai lesen kemudian baru mereka layak untuk mendapat bantuan daripada kerajaan," katanya.

--BERNAMA