Seramai 1,399 keluarga yang terkesan dengan bencana banjir di Sarawak awal tahun ini terima sumbangan wang ihsan daripada kerajaan berjumlah RM500.

Kesemua mangsa itu terdiri daripada sembilan buah daerah iaitu Kuching, Bau, Lundu, Simunjan, Betong, Pakan, Kanowit, Selangau dan Bukit Mabong dengan jumlah bantuan RM669,500.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Mejar (PA) Ismail Mahedin, daerah kecil Debak, Betong catatkan jumlah mangsa yang ramai iaitu 612 keluarga dengan peruntukan berjumlah RM306,000

"Bantuan wang ihsan bencana ini merupakan salah satu usaha kerajaan di dalam membantu rakyat ketika bencana banjir berlaku yang terikat dengan polisi dan prosedur yang sedia ada.

"Pemberian wang ihsan ini adalah untuk membantu mangsa bencana memulakan kehidupan tetapi ia bukan ganti rugi mahupun pampasan," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan diadakan di Dewan Perpaduan Debak dan disempurnakan oleh Pegawai Daerah Betong Sofhi Jebal.

Beberapa mangsa banjir mendaftar sebelum menerima bantuan wang ihsan.