Kementerian Kesihatan memaklumkan sehingga 16 Julai 2020, Malaysia telah menjalankan lebih 1.58 juta Ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rt-PCR) dan Rapid Test Kit Antigen (RTK-Antigen) untuk mengesan jangkitan COVID-19.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, ini kerana terdapat individu yang memerlukan ujian ulangan.

"Sehingga 16 Julai 2020 jam 12 tengah hari, seramai 868,394 individu telah disampel untuk COVID-19 di Malaysia, iaitu bersamaan dengan 27.14 individu bagi setiap 1,000 populasi.

"Jika dilihat pula jumlah ujian yang telah dijalankan sehingga 16 Julai 2020, data awal di Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Ibu Pejabat menunjukkan bahawa Malaysia telah menjalankan 1,577,417 ujian (rt-PCR dan RTK-Antigen).

"Bilangan ujian di negara kita adalah setanding dengan negara Korea Selatan walaupun kapasiti makmal untuk persampelan di Malaysia sudah bertambah sehingga 37,000 sampel sehari, namun kadar positif adalah hanya 1.05 peratus," jelasnya.

Bilangan ujian yang dijalankan oleh beberapa negara jiran bagi setiap 1,000 populasi mereka adalah seperti berikut;

- Vietnam adalah sebanyak 2.7 ujian bagi setiap 1,000 populasi

- Jepun adalah sebanyak 4.1 ujian bagi setiap 1,000 populasi

- Korea Selatan adalah sebanyak 26.29 ujian bagi setiap 1,000 populasi

- Singapura adalah sebanyak 79.83 ujian bagi setiap 1,000 populasi

- Australia adalah sebanyak 114.15 ujian bagi setiap 1,000 populasi

- New Zealand adalah sebanyak 87.54 ujian bagi setiap 1,000 populasi

Ini bermakna katanya, hampir 99 peratus keputusan ujian COVID-19 yang dijalankan adalah negatif.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menjelaskan bagi memastikan kes-kes COVID-19 di dalam komuniti terus dipantau, KKM telah mempergiatkan aktiviti pemantauan.

Sehingga 16 Julai 2020, secara kumulatif KKM telah melaporkan sebanyak 129 kes COVID-19 yang dikesan melalui aktiviti pemantauan klinikal iaitu;

-Persampelan Influenza Like Illness (ILI): 15 kes positif COVID-19 daripada 3,174 sampel (iaitu kadar positif adalah 0.47 peratus)

- Persampelan Severe Acute Respiratory Infection (SARI): 85 kes positif COVID-19 daripada 21,544 sampel (iaitu kadar positif adalah 0.39 peratus)

- Persampelan pra pembedahan: 29 kes positif COVID-19 daripada 66,081 sampel (iaitu kadar positif adalah 0.04 peratus).

Dr Noor Hisham turut menjelaskan RTK-Antigen mempunyai kelebihan mengesan jangkitan COVID-19 dalam jumlah yang besar dan dalam waktu yang singkat.

"Ujian COVID-19 RTK-Ag mula digunakan oleh KKM sejak 6 Mei 2020. Kit ujian RTK-Ag yang sedang digunakan ini telah melepasi penilaian teknikal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

"Malah, penilaian semula teknikal yang dijalankan terhadap bekalan agihan yang terbaru menunjukkan peningkatan tahap sensitivity daripada 84.4% kepada 90% manakala tahap specificity kekal 100%," ujarnya.