Sepuluh beranak tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Kampung Padang Jambu, Dungun hangus dijilat api.

Dalam kebakaran pada jam 4.10 petang Rabu itu, keluarga tersebut turut kehilangan wang simpanan mereka berjumlah kira-kira RM25,000.

Ketika kejadian, mangsa Ghazali Baru, 63 tahun dikatakan sedang membersihkan persekitaran rumahnya manakala lima anaknya berusia empat hingga 14 tahun sedang tidur.

Manakala isterinya Normah Abu Bakar, 45 tahun bersama tiga lagi anak mereka membantu rakannya menjual kuih.

Namun ketika sedang membersihkan kawasan, dia terdengar beberapa bunyi letupan kecil dan ketika itu api sudah menyambar bahagian atap.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Aidil Khairim Abdul Wahab berkata sejurus menerima panggilan, seramai 10 anggota dengan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, ketika tiba, api sedang marak membakar kediaman terbabit dan pihaknya berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah bersebelahan.

Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya kira jam 5.15 petang dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.