DARI pelbagai berita dalam negara dan antarabangsa yang disampaikan, berikut adalah 10 berita yang paling mendapat tumpuan di Astro AWANI sepanjang hari ini (Ahad, 29 September 2019).

1) Pembuli, bekas pengetua diarah bayar tuntutan kepada mangsa buli

Sembilan pihak termasuk lima pembuli, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan bekas Pengetua Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma) diarah membayar tuntutan sebanyak RM616,634.20 kepada seorang pelajar.

2) Kisah Mufti Wilayah dan jiran berbangsa Cina

Di sebalik pelbagai situasi yang berlaku dalam negara ketika ini, kisah yang dikongsi Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ini membuktikan bahawa perbezaan agama bukan halangan untuk rakyat negara ini hidup bersatu-padu.

3) Tiga maut selepas kereta bertembung dengan pacuan empat roda

Tiga kakitangan sekolah agama swasta maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 23, Jalan Nitar-Mersing di sini, pukul 1.40 tengah hari.

4) Guru jangan bertindak sendiri, serah kepada guru besar untuk hukum murid - JPN Sabah

Guru-guru di Sabah diingatkan supaya tidak bertindak di luar kawalan sehingga boleh mendatangkan kecederaan kepada murid sebaliknya menyerahkan kes-kes murid tidak mendengar arahan atau melanggar disiplin kepada guru besar untuk tindakan.

5) Pesuruhjaya Pas Perlis rebah ketika sampaikan ceramah

Pesuruhjaya Pas Perlis Mohd Shukri Ramli dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) selepas terjatuh dan tidak sedarkan diri ketika berucap pada satu ceramah pada Ahad malam.

6) Pengawal peribadi Raja Arab Saudi mati ditembak rakan sendiri

Jeneral Abdel Aziz al-Fagham dikatakan berkunjung ke kediaman rakannya, Mamdouh bin Meshaal Al Ali pada Sabtu malam sebelum tercetus pertengkaran antara mereka.

7) 17 pelajar kolej terbunuh selepas trak pikap terbalik di Thailand

Seorang pemandu turut alami kecederaan serius selepas sebuah trak pikap yang membawa muatan berlebihan terbabas sebelum terbalik di King Kaew Road in Bang Phli, Wilayah Samut Prakan.

8) Larut dalam kedewasaan Exists

Apabila Exists mengumumkan hasrat mengadakan konsert dalam skala yang besar, berita itu menjadi topik perbualan yang besar dalam kalangan pencinta mereka.

9) Rakam aksi cabul gadis bawah umur, pemilik laman web lucah berbayar dicekup polis

Suspek tersebut, Nonthakorn Kiripkakorn, 29, melakukan perbuatan itu sebagai persiapan memproses rakaman itu menjadi kandungan berbayar untuk dilanggan ahli-ahli berdaftar di laman web kendaliannya.

10) SPRM tahan bekas pengarah kastam negeri - Latheefa Koya

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan dua pengarah syarikat semalam, menurut Ketua Pesuruhjayanya Latheefa Koya.