Sebanyak 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua kerusi Parlimen di Perak menyaksikan pertembungan satu lawan satu.

10 DUN itu ialah Pokok Assam, Aulong, Jalong, Canning, Pasir Pinji, Bercham, Kepayang, Pantai Remis, Astaka dan Keranji.

Dua kerusi Parlimen pula ialah Ipoh Timur dan Ipoh Barat.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak, Mohd Nazri Ismail berkata, 66 kerusi menyaksikan pertandingan tiga penjuru dan lima empat penjuru.

Menurutnya pertandingan lima penjuru mengambil tempat di empat DUN iaitu Batu Kurau, Changkat Jering, Hulu Kinta dan Sungai Manik serta kerusi Parlimen Sungai Siput.

Beliau memberitahu, Barisan Nasional (BN) bertanding di semua 24 kerusi Parlimen manakala PAS (21), PKR (24) dan PSM (2) dengan jumlah keseluruhan 71 calon.

Bagi kerusi DUN pula, BN dan PKR bertanding semua 59 kerusi, PAS (44), Berjasa (2), PSM (5) dan Bebas (2), menjadikan kesemuanya 171 calon.

"Penamaan calon berjalan lancar, tiada insiden yang tidak diingini dan pengumuman calon dibuat serentak mulai jam 12.15 tengahari," katanya pada sidang media di sini, hari ini.