Setakat Isnin, pihak polis telah menerima sebanyak 17 laporan sepanjang tempoh 10 hari berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Ketua Polis Daerah, DSP Ashari Abu Samah berkata laporan yang diterima melibatkan kes pemberian wang, isu khemah dirosakkan, penyebaran kertas undi yang diviralkan dalam media sosial dan insiden kekecohan yang berlaku di Sungai Koyan pada Ahad.

"Setakat ini, satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 5(6)(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Kita juga menerima satu laporan daripada calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Nor berhubung isu di Sungai Koyan dan laporan berhubung salah guna jentera kerajaan oleh jentera BN.

"Kedua-dua kes itu masih dalam siasatan dan kita sedang menunggu untuk mengambil keterangan pengadu. Bagi kes pemberian wang pula, ia telah diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut," kata Ashari pada sidang media di Pusat Media PRK Cameron Highlands.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak 41 permit ceramah telah dikeluarkan iaitu 16 permit kepada Pakatan Harapan (PH) dan 25 permit kepada BN

Tambahnya, setakat ini, semua ceramah yang diadakan berjalan lancar dan tidak berlaku kejadian yang tidak diingini.