Tutup

10 lagi jenazah akan diusahakan dibawa pulang pada Ahad

10 lagi jenazah akan diusahakan dibawa pulang pada Ahad
HISHAMMUDDIN: 10 lagi jenazah akan diusahakan dibawa pulang pada Ahad. - Gambar fail
SEPANG: Lapan lagi jenazah warga negara Malaysia yang sudah dikenal pasti tetapi masih berada di Amsterdam kerana perlu melalui proses tertentu akan diusahakan dibawa pulang secara berperingkat-peringkat bermula Ahad ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia merupakan fasa kedua selepas Istiadat Penghormatan 20 Jenazah Pertama Tragedi MH17 yang akan tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada Jumaat.
"Kumpulan pertama jenazah yang akan dibawa pulang dari Amsterdam itu melibatkan 11 orang beragama Islam dan sembilan orang bukan Islam.

"Senarai nama 20 jenazah mangsa ini melibatkan 11 penumpang dan sembilan anak kapal," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, KLIA di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Ujar Hishammuddin, kerajaan turut berharap semua pihak termasuk media dapat menghormati kesedihan yang dirasai keluarga mangsa tragedi MH17 dan sama-sama menjaga privasi dan sensitiviti mereka.

Jelasnya, upacara berdoa dan bertafakur selama seminit serentak di seluruh negara yang akan dilakukan di antara jam 10.45 pagi sehingga 11.15 pagi akan dimaklumkan secara langsung pada hari istiadat melalui siaran radio dan televisyen.

"13 jenazah akan dibawa ke tanah perkuburan menggunakan kenderaan jenazah manakala tujuh lagi akan diterbangkan ke negeri masing-masing menggunakan pesawat C130 dan helikopter EC725 milik Angkatan Tentera Malaysia.

"Lima jenazah akan diterbangkan menggunakan pesawat C130 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (dua jenazah) dan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh (tiga jenazah) manakala dua lagi jenazah diterbangkan menggunakan helikopter EC 725 ke Pagoh dan Segamat, Johor," ujarnya.

Dalam pada itu jelasnya, sempena Hari Berkabung Malaysia di seluruh negara pada Jumaat, bendera akan dikibarkan separuh tiang manakala seluruh rakyat berbilang kaum dan agama digalakkan berpakaian bewarna gelap.

"Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah turut berkenan berangkat mencemar duli ke istiadat pengormatan esok.

"Selain itu, semua menteri besar, pihak kerajaan, ahli Parlimen dan duta dijemput pada istiadat berkenaan," ujarnya.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama, Tiong Lai berkata, dua lagi mangsa warga Malaysia dalam tragedi pesawat MH17 telah dikenal pasti semalam, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 30.

"Kita akan teruskan bawa balik jenazah seterusnya. Satu lagi majlis yang sama menerima jenazah akan diadakan pada Ahad ini. Sampai sekarang, dua lagi jenazah telah siap untuk dibawa pulang pada Ahad ini.

"Kami akan mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa. Kami membuat telepersidangan setiap hari untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan persiapan membawa balik semua jenazah selebihnya," katanya.

Sebanyak 43 warga Malaysia berada di dalam pesawat yang terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal. Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di negara bergolak itu.