Sebuah bot tunda yang membawa muatan minyak sawit dari Felda Sahabat, Tungku ke Kuantan, Pahang hampir dirompak di perairan Tambisan dekat sini, petang semalam.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) DCP Datuk Hazani Ghazali berkata setibanya di perairan Tambisan sebuah bot yang dinaiki kira-kira 10 lelaki menghampiri dan menaiki bot tunda tersebut pada 6 petang.

"Tindakan pantas kesemua kru itu menyelamatkan diri dengan memasuki dek berkunci di dalam bot dan menghubungi pasukan keselamatan, bagaimanapun dapat menghalang mereka daripada menjadi mangsa rompakan di laut atau mengalami kecederaan.

"Kesemua penjenayah terlibat segera melarikan diri sebaik menyedari kehadiran bot keselamatan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengulangi saranan agar semua kapal atau bot di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) mengaktifkan AIS, melaporkan jadual perjalanan serta panggilan kecemasan sekiranya berlaku insiden tidak diingini di laut agar pihak ESSCom dapat mengambil langkah sewajarnya.

Beliau turut memberi peringatan kepada semua kapal yang melalui perairan kawasan ESSZone supaya berwaspada dan kerap melaporkan kedudukan pergerakan kapal kepada Pusat Operasi ESSCom untuk pemantauan keselamatan.

-- BERNAMA