Sekurang-kurangnya 10 murid sekolah rendah cedera selepas bas persiaran yang dinaiki mereka melanggar tiang di Plaza Tol Ipoh Selatan di sini, petang tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 5 petang itu, bas persiaran berkenaan sedang dalam perjalanan ke Pulau Pinang dari selepas melakukan lawatan di Cameron Highlands dan Melaka.

Difahamkan, bas tersebut membawa 33 murid termasuk empat orang guru pengiring dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Jit Sin, Bukit Mertajam.

Menurut pemandu bas persiaran, Razman Yaakub, dia hanya menyedari mengenai kegagalan brek bas untuk berfungsi ketika menghampiri plaza tol berkenaan.

Kesemua pelajar yang cedera telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun bagi mendapatkan rawatan.