Flat Tongkang Yard, Seberang Perak, di Alor Setar ditutup hari ini berikutan penularan COVID-19.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh, penutupan itu ekoran terdapat 10 penghuni di flat itu didapati positif COVID-19.

Katanya, penutupan ini bagi memudahkan untuk proses saringan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilakukan terhadap kesemua penghuni di flat terbabit.

Penutupan bermula jam 6 pagi tadi dan kini anggota dan pegawai ditempatkan di sekitar kawasan flat bagi memastikan tiada penghuni yang cuba meloloskan diri untuk keluar.

“Ekoran peningkatan kes COVID-19 positif secara mendadak di Alor Setar pada semalam iaitu sebanyak 10 kes, pihak polis telah mengadakan perbincangan dengan pihak Majlis Keselamatan Negara dan penutupan rumah pangsa Flat Tongkang Yard di Alor Setar, Kedah bermula pada hari ini sehingga urusan saringan dan seterusnya urusan kuarantin selesai,” katannya ketika ditemui di sini hari ini.

Sehubungan itu Mohd Redzuan menasihati penduduk flat terbabit supaya terus mematuhi arahan pihak berkuasa berkaitan dengan tindakan penutupan kawasan ini.

“Saya menyeru kepada penduduk yang tinggal di dalam kawasan Flat Tongkang Yard dan juga yang tinggal berhampiran supaya mematuhi arahan pihak berkuasa yang sedang menjalankan proses saringan dan juga sedang menjalankan proses kawalan di kawasan tersebut supaya mematuhi arahan arahan tersebut dan jangan menghampiri kawasan itu,” katanya lagi.

Sementara itu, tinjauan di flat berkenaan mendapati, Majlis Keselamatan Negara telah mengedarkan bekalan makanan untuk penduduk di kawasan itu.

Difahamkan, flat itu didiami 200 penduduk dan kesemua mereka tidak dibenarkan untuk keluar.