Sebanyak 10 buah rumah dihanyutkan arus deras dalam kejadian di sungai Kampung Pampang, dekat sini, jam 3.15 petang tadi.

Namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan selepas semua penghuni di rumah berkenaan keluar lebih awal apabila air sungai naik mendadak.

Kejadian berkenaan difahamkan berlaku susulan hujan lebat sejak pagi tadi di daerah terbabit sehingga menyebabkan insiden tanah mendap hingga kesemua rumah mangsa dihanyutkan arus deras sungai itu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khairul Azuwan Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat selepas dimaklumkan oleh penghuni sebuah rumah yang dinaiki air di tepi sungai kampung tersebut.

Antara rumah mangsa yang terjejas dihanyutkan arus deras di sungai Kampung Pampang, Keningau.

“Sejurus menerima maklumat, sepasukan anggota bomba dikerah ke lokasi kejadian bagi memantau keadaan banjir di kawasan berkenaan.

"Tinjauan mendapati 10 rumah dihanyutkan arus deras sungai Kampung Pampang, selain sebuah kenderaan turut hanyut," katanya, ketika dihubungi Astro AWANI malam ini.

Antara rumah mangsa yang terjejas dihanyutkan arus deras di sungai Kampung Pampang, Keningau.

Khairul Azuwan berkata, pemantauan masih dilakukan dan seramai lapan anggota bomba termasuk seorang pegawai terlibat dalam operasi petang tadi.

"Pasukan bomba juga menjalankan pemantauan di Kampung Limbawan yang turut terjejas akibar banjir. Namun tiada mangsa yang terperangkap," katanya.