Seramai 10 lelaki warga India ditahan kerana dipercayai makan beramai-ramai dan minum minuman keras di sebuah restoran daun pisang di Jalan Tun Abdul Razak, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz, berkata mereka yang berusia 19 tahun hingga 44 tahun itu ditahan pasukan polis Bahagian Risikan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak pada jam 8.50 malam.

"Pasukan polis yang menjalankan pemantauan COVID-19 di kawasan Ipoh Barat terdengar bunyi bising di dalam restoran berkenaan sebelum bertindak membuka pintu dan mendapati 10 lelaki sedang makan dan meminum minuman keras," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati jarak rumah semua suspek dengan restoran itu hanya kira-kira 30 meter.

Beliau berkata susulan itu, polis merampas lesen perniagaan pemilik restoran tersebut selain tiga botol arak jenama 'A Class'.

"Kesemua suspek mengakui tahu dan faham Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan berikutan penularan penyakit COVID-19 di negara ini," katanya.

Katanya, mereka disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020. - BERNAMA