Kira-kira 100 buah rumah mengalami kerosakan dalam kejadian ribut yang melanda di beberapa buah Kampung sekitar Manir, Terengganu.

Kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu menyebabkan bumbung rumah penduduk tercabut selepas dilanda angin kencang selama 15 minit.

Antara yang terlibat Kampung Kubang Bujuk, Kampung Kesom dan Perumahan Awam Kos Rendah Batu Hampar.

Seorang penduduk Abdullah Yusof, 51, berkata ketika kejadian dia sedang berehat di luar rumah sebelum angin kuat melanda lantas disusuli hujan lebat.

Katanya, selama 18 tahun menghuni dikawasan tersebut itulah kejadian paling teruk yang dialami mereka.

“Panik tengok angin kuat sebelum disusuli hujan. Saya lantas berlari ke dalam rumah bagi menyelamatkan diri dan ahli keluarga yang lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya pada Ahad.

Sementara itu seorang suri rumah Wan Siah Muda, 58, tidak putus berdoa dan melaungkan azan bila melihat situasi berkenaan.

“Memang takut masa itu, saya hanya fikir untuk menyelamatkan suami yang menghidapi penyakit strok sejak 18 tahun lalu,” katanya.

Bagaimanapun insiden itu tidak mengakibatkan kecederaan jiwa.