HARI INI genap 100 hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini sejak pertama kali diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Mac lalu.

Persoalannya adakah Malaysia sudah berjaya mengawal pandemik maut COVID-19 daripada menjadi lebih buruk dengan pelaksanaan PKP yang kemudian disambung dengan PKP Bersyarat (PKPB) seterusnya PKP Pemulihan (PKPP)?

PKP bertujuan mengehadkan pergerakan orang ramai untuk keluar rumah, yang turut menyaksikan semua premis di dalam negara terpaksa ditutup kecuali bagi perkhidmatan penting.

Selepas Malaysia melalui tiga fasa PKP, berdasarkan ranking dunia, Malaysia kini berada di tangga ke-69 daripada 187 negara yang terlibat dengan penularan wabak itu, berbanding tangga ke-17, sehari selepas PKP diumumkan.

Semalam, kes baharu COVID-19 kekal mencatatkan satu angka iaitu enam kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan 244 kes manakala jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia adalah 8,596 kes, serta sifar kematian menjadikan jumlah maut akibat wabak itu kekal 121 kes.

Kes terendah

Jumlah kes positif terendah dicatatkan pada 10 Jun lepas iaitu hanya dua kes dan ia mungkin petanda baik yang negara berada di landasan betul menuju sifar kes sekali gus bebas daripada COVID-19.

Anggota perubatan dan kesihatan misalnya terpaksa bekerja syif panjang sejak lima bulan lalu, selepas kes pertama COVID-19 dilaporkan di dalam negara iaitu pada 25 Januari, membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura.

Sepertimana orang awam, petugas kesihatan juga tidak lepas daripada rasa takut dan khuatir, malah ramai jururawat mahupun doktor menceritakan 'azab' memakai pakaian pelindung diri (PPE), selain ada yang langsung tidak bertemu dan memeluk anak kerana risau kemungkinan memindahkan virus tersebut kepada mereka.

Seramai 416 kakitangan Kementerian Kesihatan juga dijangkiti virus tersebut, iaitu 80 peratus daripada mereka mendapat jangkitan itu dari luar kemudahan kesihatan, manakala kira-kira 20 peratus lagi jangkitan daripada pesakit dan rakan sekerja.

Berbulan lamanya anggota pasukan keselamatan beruniform biru dan juga yang berceloreng tentera menjalankan rondaan misalnya di kawasan perumahan, selain berpanas berhujan tanpa mengira masa di sekatan jalan raya bagi menahan mereka yang tidak mempunyai justifikasi untuk keluar rumah.

Terkorban

Malah Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, maut selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika bertugas menjaga sekatan jalan raya akibat kecederaan parah di kepala dan badan manakala seorang lagi cedera parah selepas khemah operasi runtuh disebabkan angin lintang dan hujan lebat.

Tidak ketinggalan agensi penguatkuasaan lain antaranya Agensi Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), pihak berkuasa tempatan (PBT), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Imigresen yang bekerja keras memastikan perang ke atas pandemik ini berjaya.

Operasi demi operasi juga menyaksikan ramai pendatang asing tanpa izin ditahan, kes jenayah di dalam negara juga berkurangan kerana keberadaan anggota penguat kuasa di mana-mana, selain kawalan persempadanan juga terus diperketatkan bagi mengelak negara dibolosi melalui 'lorong tikus'.

Sepanjang PKP juga Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan juga 'Jeneral Perang' - Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah tidak jemu menyampaikan pengumuman terbaharu selain nasihat supaya semu pihak patuh PKP dan SOP ditetapkan.

Mereka juga mengingatkan masyarakat untuk terus mengamalkan pendekatan normal baharu, ini tidak lain untuk memutuskan sama sekali rantaian jangkitan COVID-19 dan membebaskan rakyat Malaysia daripada virus maut itu.

Penghargaan

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun lepas tidak lupa merakam penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan, selain mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang terus mematuhi SOP dalam menjalankan aktiviti harian sepanjang tempoh PKP dan PKPB.

Sepanjang fasa PKP juga, pelbagai bantuan dan kemudahan telah diberikan kerajaan termasuklah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang bertujuan untuk mengurangkan beban hidup serta sebagai rangsangan ekonomi.

Apapun, semua pihak harus terus berhati-hati , tidak mengambil mudah walaupun sudah banyak kelonggaran diberi kerajaan, saling mengingati antara satu sama lain mengenai SOP dan peraturan supaya Malaysia tidak kembali mencatat peningkatan kes dan akhirnya bebas daripada COVID-19. Ayuh Malaysia! Buktikannya!

-- BERNAMA / NORSHAZLINA NOR AZMAN