Kira-kira 100 kartunis tempatan menzahirkan tentangan terhadap tindakan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dengan melukis kartun beramai-ramai di Muzium Negara.

"Semua kartunis yang ada pada hari ini dan esok berkumpul untuk bersolidariti mempertahankan Baitulmaqdis dengan menzahirkan perasaan marah, geram dan sebagainya dalam bentuk lukisan kartun," kata Pengasas dan Pengerusi Yayasan Kartunis Malaysia Mohd Desa Omar atau lebih dikenali sebagai Juragan.

Program 'Solidariti Kartunis Malaysia Selamatkan Baitulmaqdis' itu dianjurkan bersama Muzium Negara sempena Pameran Kartun dan Kita yang berlangsung di muzium itu dari 8 Dis hingga 15 April depan.

"Tujuan program solidariti ini adalah bagi menunjukkan kepada masyarakat dan juga seluruh dunia bahawa golongan kartunis turut prihatin terhadap apa yang berlaku di Palestin," kata Juragan kepada pemberita pada pelancaran program itu di sini pada Sabtu.

Menurut Juragan, karya yang dilukis di atas dua kanvas putih masing-masing berukuran 13 meter persegi itu akan dipamerkan sepanjang pameran kartun itu berlangsung.

Pengarah Muzium Negara Azmi Ismail pula berkata kartun antara medium yang berkesan dalam meningkatkan kesedaran mengenai pelbagai isu dengan cara sinikal, kritikal atau mencuit hati.

Bagi kartunis Shaari Sulong, 44, atau Aie, beliau ingin memberitahu dunia bahawa golongan kartunis sedang bersuara walaupun bukan melalui kekerasan atau peperangan.

"Kerajaan dah jalankan apa yang sepatutnya (dalam menyuarakan bantahan). Jadi usaha kita ni cuma menyambung supaya isu ini (Palestin dan Baitulmaqdis) tidak sejuk tiba-tiba.

"Jadi kita gunakan kelebihan kita untuk menzahirkan secara visual dan cuba lakukan sepedas mungkin supaya sedikit sebanyak memberi kesan kepada si pelaku (pentadbiran AS)," katanya.

Aie berkata karyanya menunjukkan watak Yoda dari filem Star Wars memberitahu karikatur Presiden Donald Trump yang dia malu dengan tindakan pemimpin AS itu dan pentadbiran beliau dalam isu Palestin.

"Saiz Yoda yang kecil itu sendiri menggambarkan Trump membuli mereka yang lebih kecil daripada beliau dan tindakannya itu adalah memalukan," katanya.

-- BERNAMA