Sebanyak 100 Pusat pemindahan banjir di seluruh negara akan dinaik taraf secara berperingkat mula tahun ini bagi memberi keselesaan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim berkata pihaknya setakat ini telah menaiktaraf beberapa pusat pemindahan di Kelantan.

Jelasnya, proses menaik taraf itu termasuk menambah bilangan bilik air, membesarkan ruang memasak dan kantin.

"Kita sudah mengenalpasti 100 pusat pemindahan yang akan melibatkan penambahbaikan pada kantin, bilik air dan kita telah melaksanakannya di Kelantan.

"Kita akan teruskan projek ini setelah mendapat pertimbangan daripada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta akan dilaksana dalam masa terdekat," katanya dalam sidang media selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Kampung Air Papan, Mersing Johor.

Tambahnya, setiap pusat pemindahan banjir yang dikenal pasti akan dinaik taraf mengikut keperluan, dan kini pihaknya sedang memperincikan perkara itu termasuk dari segi kos.

Sementara itu, bagi perkembangan banjir di Johor setakat jam 6 petang tadi mencatat penurunan jumlah mangsa banjir dengan 3 pusat pemindahan telah ditutup.

Tiga pusat yang ditutup adalah Surau Sungai Bunti dan Sekolah Kebangsaan Telok Ramundia di Kota Tinggi dan Balairaya Taman Nakhoda di Mersing.

Penutupan itu menjadikan jumlah mangsa banjir di Johor seramai 380 mangsa daripada 105 keluarga di 6 Pusat Pemindahan yang semuanya di Mersing Johor.