Seramai 101 graduan perubatan seluruh Malaysia termasuk mahasiswa yang menuntut di luar negara menyertai National Pre-Housemanship Workshop 2018 di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Gong Badak, di sini.

Bengkel yang pertama kali diadakan di pantai timur itu bertujuan membantu graduan perubatan sebagai persedian dan pendedahan kepada mereka sebelum menjadi Pegawai Perubatan Prasiswazah.

Seorang peserta Zainal Zulkifli, 25, berkata bengkel yang berlangsung selama lima hari itu banyak membantu dirinya dalam persediaan menjadi seorang doktor.

"Tahun ini amat mencabar bagi kami kerana kakitangan kontrak baharu yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi impak yang sangat besar dan memerlukan kami bersedia dari segi fizikal serta mental sebelum menjawat jawatan tersebut.

"Kami juga perlu menunggu panggilan untuk masuk berkerja dalam hospital kerajaan sekitar 9 ke 12 bulan selepas tamat pengajian dan menyebabkan segala ilmu pengetahuan yang dipelajari perlu diingati semula agar maklumat tersebut sentiasa segar dalam kotak ingatan," katanya yang merupakan graduan perubatan dari UniSZA.

Bagi Siti Nor Hidayah Zainuddin, 24, beliau begitu gembira kerana berpeluang untuk menghadiri bengkel itu kerana ianya murah dan berpatutan.

"Kursus ini sering kali diadakan di kawasan Lembah Klang tetapi program berkenaan terlalu singkat dan slot yang disediakan tidak memenuhi kehendak kami pada masa kini.

"Kos sekitar RM1,300 hingga RM1,600 menyebabkan ramai graduan seperti kami tidak mampu menyertai bengkel berkenaan," katanya.

Beliau yang juga graduan perubatan dari Universiti College Cork, Ireland itu berkata program itu adalah satu inisiatif yang baik kepada para graduan perubatan untuk hadir kerana kos bengkel itu tiga kali lebih murah berbanding kursus yang diadakan di luar dengan khidmat bantuan pensyarah dari Fakulti Perubatan UniSZA.

Program anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bersama Persatuan Mahasiswa Perubatan UniSZA (MediSZA) turut disertai graduan perubatan dari luar negara antaranya Ireland, India, Indonesia dan Rusia.
_______________________________________________________________________
* Laporan ini disediakan oleh AWANI Rangers Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

** AWANI Rangers ialah inisiatif Astro AWANI bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.