LUMUT:Seorang penternak ayam mengalami kerugian apabila 11,000 ekor anak ayamnya rentung dalam kebakaran di sebuah reban di Pekan Gurney, Sitiawan di sini, awal pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Mohd Zaki Zainol berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 5.35 pagi, sebelum 34 anggota bersama dua jentera dan sebuah van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, sebahagian reban tersebut telahpun hangus terbakar dan reban itu dibina sepenuhnya dengan kayu, menyebabkan api lebih senang marak dan merebak.

"Bagaimanapun, pihak bomba berjaya mengawal kebakaran tersebut dan hanya 50 peratus daripada reban tersebut berjaya diselamatkan. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi tamat sepenuhnya pukul 9.45 pagi tadi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Zaki berkata, punca kejadian dan kerugian sebenar masih lagi disiasat. - BERNAMA