Seramai 11,382 penjawat awam dan ahli keluarga mereka yang menyertai Program Takaful CuepacsCare anjuran Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menerima manfaat rawatan di hospital pakar swasta sepanjang tahun 2018.

Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda berkata, kesemua peserta CuepacsCare itu telah mendapatkan rawatan perubatan di hospital pakar dengan tuntutan berjumlah RM42 juta yang ditanggung sepenuhnya di bawah program takaful tersebut sekali gus mengurangkan beban penjawat awam.

Beliau berkata, antara jenis penyakit yang paling banyak dirujuk peserta CuepacsCare ketika mendapatkan rawatan penghospitalan sepanjang tahun lalu ialah pneumonia, cirit-birit, influenza, demam denggi, akut pernafasan dan penyakit berkaitan buah pinggang.

"Cuepacs ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Medicare Assistance Sdn. Bhd. yang berjaya mengendalikan CuepacsCare dengan cemerlang. Secara purata jumlah tuntutan yang dibayar sebulan untuk penjawat awam yang menyertai ialah sekitar RM3.5 juta.

"Dengan bayaran bulanan serendah RM35 bagi pelan individu dan RM85 pelan keluarga CuepacsCare, penjawat awam di negara ini mampu memiliki kad kesihatan bagi mendapatkan rawatan di hospital pakar swasta. Saya berharap penjawat awam ambil kesempatan ini untuk memiliki CuepacsCare," katanya pada Program Latihan Keusahawanan MyCuepacsCare di sini hari ini.

Azih berkata, Cuepacs menyasarkan sejumlah 700,000 penjawat awam di seluruh negara akan menyertai polisi perlindungan takaful CuepacsCare menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, pihaknya yakin sasaran itu mampu dicapai berikutan terdapat peningkatan kesedaran dalam kalangan penjawat awam mendapatkan perlindungan kesihatan dan kemalangan tambahan untuk diri dan keluarga.

"Sejak polisi ini diperkenalkan pada 20 tahun lepas, rekod menunjukkan hanya 400,000 penjawat awam sahaja yang mendaftar setakat ini berbanding jumlah penjawat awam yang ada seramai 1.6 juta.

"Menjelang akhir tahun ini kita sasar jumlah ini bertambah 300,000 lagi yang mendaftar polisi CuepacsCare menjadikan 700,000 orang daripada 1.6 juta bilanga penjawat awam di negara ini," katanya.

Menurut Azih, selain Takaful CuepacsCare, Cuepacs dan Medicare turut memperkenalkan Program Takaful Kemalangan Diri CuepacsPA pada 2006 bagi memberi perlindungan 24 jam dengan bayaran sumbangan yang begitu rendah dan mampu dimiliki oleh semua peringkat Penjawat Awam.

"Program Perlindungan Kemalangan Diri CuepacsPA merangkumi perlindungan kewangan untuk kematian, kecacatan anggota badan sama ada kecacatan kekal, penuh atau separa pada kadar caruman serendah RM6 sebulan dengan nilai pampasan sehingga RM440,000.

"Lebih istimewa CuepacsPA memberikan perlindungan kepada penjawat awam dan ahli keluarga 24 jam di seluruh dunia sama ada dalam tempoh bekerja atau bercuti. Ia membantu apabila ditimpa kemalangan atau musibah tertentu dalam meringankan beban kewangan," katanya.

Menyentuh mengenai Program Latihan Keusahawanan MyCuepacsCare, Azih berkata, program tersebut telah memasuki siri ketiga bertujuan untuk meningkatkan aktiviti promosi Takaful CuepacsCare dan CuepacsPA kepada penjawat awam melalui aktiviti pemasaran oleh usahawan berkaliber MyCuepacsCare.

"Usahawan MyCuepacsCare yang terdiri daripada penjawat awam, pesara, graduan dan oang awam diberikan latihan oleh Medicare untuk mengadakan taklimat dan membuka kaunter bagi mempromosi produk CuepacsCare dan CuepacsPA di agensi atau jabatan kerajaan.

"Sehingga kini, seramai 240 usahawan MycuepacsCare telah menjalani latihan yang disediakan Medicare termasuk 70 peserta pada hari ini. Adalah menjadi harapan Cuepacs agar setiap warga penjawat awam mendapat perlindungan takaful tambahan untuk diri dan keluarga," ujarnya.