Polis Daerah Padang Terap meminta 11 individu yang gagal membayar kompaun kerana ingkar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) segera tampil melunaskannya.

Menurut Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar, seramai 24 kes dikompaun kerana melanggar syarat PKP.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, hanya 13 daripadanya sudah membayar kompaun RM1,000 manakala bakinya masih belum berbuat demikian.

"Kita akan berhubung dengan Pejabat Kesihatan Daerah untuk memastikan orang yang dikena kompaun menjelaskan bayaran tersebut," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, beliau menasihati orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika sambutan Hari Kemerdekaan pada Isnin ini.

Orang ramai, tegas beliau, harus sedia maklum sambutan kemerdekaan negara pada tahun ini terpaksa disambut dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan memantau sebarang majlis kenduri sepanjang Hari Kemerdekaan selain aktiviti konvoi bermotosikal membabitkan ramai peserta.

"Anggota polis akan terus melakukan rondaan di kawasan masjid, kedai makan dan kawasan yang menjadi tumpuan ramai supaya orang ramai mematuhi SOP," jelas beliau lagi.

Dalam pada itu, Mulkiaman berkata, empat sekatan jalan raya (SJR) di daerah itu iaitu di Padang Sanai dan Kampung Ulu sudah ditutup sepenuhnya berkuatkuasa semalam.

Beliau berkata, kawasan itu adalah di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) sejak 3 Ogos lalu.

BACA: TEMCO di Perlis dan Kedah ditamatkan bermula 26 Ogos

BACA: TEMCO: 10 sekatan jalan raya ditutup hari ini

BACA: TEMCO tamat: Penduduk Kampung Natoi lebih nikmat sambut merdeka