Wisma Putra telah mengenal pasti kesemua 11 orang rakyat Malaysia di luar negara yang dijangkiti COVID-19.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, jumlah itu melibatkan sembilan orang rakyat Malaysia di Singapura.

Daripada sembilan orang itu, dua daripada mereka telah dibenar keluar sementara tujuh lagi masih dirawat di negara jiran itu.

Tidak ketinggalan, kata beliau, dua lagi rakyat Malaysia di Jepun yang telah pulang ke negara ini.

Menurut Hishammuddin, Wisma Putra melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia juga sentiasa mengemaskini rekod rakyat Malaysia di negara yang terjejas dengan COVID-19

"Kita hendak tekankan rakyat Malaysia di negara luar ini, tolong daftar dengan kedutaan supaya senang untuk kita pantau.

"Jangan tunggu sampai keadaan yang terdesak baru hendak minta pertolongan Wisma Putra tetapi untuk mendaftarkan diri dengan kita di peringkat awal, tidak lakukannya.

"Sebab itu penting untuk mereka juga bertanggungjawab memastikan nama mereka berada di kedutaan-kedutaan kita," katanya semasa sidang media mengenai perkembangan rakyat Malaysia di luar negara yang dijangkiti COVID-19, di sini pada Jumaat.


Sehingga Khamis, bilangan rakyat negara ini yang berdaftar dengan perwakilan Malaysia di antara 10 negara paling teruk terjejas akibat COVID-19 ialah China (14,929), Korea (4,297), Itali (380), Perancis (2,401) dan Amerika Syarikat (23,179), Iran (67), Jepun (6,019), Sepanyol (150), Switzerland (790) dan Jerman (2,218)

Katanya, angka itu tidak termasuk 826 penjawat awam dan keluarga masing-masing yang turut menetap di 10 negara berkenaan.

Dalam pada itu, Hishammuddin memaklumkan, timbalannya, Datuk Kamaruddin Jaffar mengetuai pasukan petugas khas (taskforce) di Wisma Putra yang ditugaskan khusus meneliti secara terperinci perkembangan rakyat Malaysia di luar negara.

Beliau berkata, laporan daripada pasukan petugas khas itu akan dimaklum terus kepada rakyat dari semasa ke semasa.
BACA: Malaysia belum alami kes sporadik COVID-19 - Dr Noor Hisham

B

ACA: Pengurus Arsenal Mikel Arteta positif COVID-19