Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara PERKESO, MYFutureJobs merekodkan 113,300 pencari kerja dengan 95,400 kekosongan aktif.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, portal itu mencatatkan purata harian 3,088 pencari kerja dan 2,692 kekosongan jawatan.

"Kementerian Sumber Manusia menggesa semua majikan yang mempunyai kekosongan jawatan untuk menggunakan platform yang disediakan kerajaan bagi memperolehi insentif pengambilan pekerja tempatan," kata beliau dalam kenyataan yang diedarkan pada Rabu.

Insentif pengambilan pekerja ini merangkumi bantuan kewangan untuk majikan yang menggajikan lepasan sekolah, siswazah, penganggur dan pekerja yang diberhentikan kerja serta perantis.

Di bawah skim MYApprentice yang dibentangkan daam membentangkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) awal Jun lalu, menyediakan insentif kepada majikan layak jika mereka menggajikan perantis

Sementara di bawah skim HireMalaysia pula, majikan yang menggajikan penganggur berumur bawah 40 tahun akan mendapat insentif RM800 bagi setiap pekerja manakala syarikat yang menggajikan penganggur berumur antara 40 hingga 60 tahun atau Orang Kelainan Upaya (OKU) layak mendapat insentif sebanyak RM1,000 bagi setiap pekerja.

Semua insentif ini akan diberikan selama enam bulan kepada majikan yang layak.

Selain insentif pengambilan pekerja, majikan juga memperoleh manfaat pekerja mahir sekiranya pengambilan dilakukan melalui PenjanaKerjaya.

Untuk sebarang bantuan atau pertanyaan lanjut, pencari kerja dan majikan boleh hadir ke mana-mana 54 pejabat PERKESO atau hubungi 1 300 22 8000 atau 03-8091 5300.