Seramai 117 individu ditahan polis disyaki positif dadah ketika menyertai parti liar sempena sambutan Tahun Baharu Cina di sebuah premis di Metro Pudu, awal pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintenden Muhammad Najib Hamzah berkata seramai 135 anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN)Ibu pejabat Polis Daerah Wangsa Maju sertai serbuan itu.

"Penganjur merupakan seorang wanita berusia 27 tahun menggunakan media sosial Facebook untuk menarik pengunjung bagi menyertai 'private party' dengan syarat bayaran serendah RM30.

"Sebanyak 314 individu diperiksa dan mendapati 115 daripada mereka positif dadah dan turut ditahan seorang ahli kongsi gelap mempunyai tatu 08 di bahu kiri.

"Premis hiburan itu disewa penganjur pada harga RM12,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurut Muhammad Najib, pihaknya turut merampas wang tunai, minuman keras dan peralatan muzik.

"Kesemua ditahan direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966.