Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan 12 kes baharu dan satu kematian sehingga jam 12 tengah hari Jumaat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 8,976 kes.

"Daripada 12 kes baharu yang dilaporkan, lima kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan dua warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia.

"Daripada tujuh kes penularan di dalam negara, lima kes adalah di kalangan warganegara Malaysia dan dua kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia," katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Lima kes import tersebut termasuk tiga dari Indonesia, Qatar (satu) dan United Kingdom (satu).

Tujuh kes penularan dalam negara pula termasuk dua kes di Johor, Kedah (dua), Selangor (satu), Negeri Sembilan (satu) dan Sabah (satu).

Kes kematian membabitkan pesakit kes ke-8,974 iaitu lelaki Filipina berusia 64 tahun.

"Kes kematian ke-125 (kes ke-8,974) merupakan lelaki bukan warganegara Malaysia (warganegara Filipina) berumur 64 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung. Dia mempunyai gejala demam, batuk dan sesak nafas pada 25 Julai namun tidak mendapatkan rawatan.

"Pada 29 Julai 2020, dia ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kemudiannya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah di mana beliau telah disahkan meninggal dunia. Ujian saringan menunjukkan dia positif COVID-19," kata Dr Noor Hisham.

Ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di negara ini sebanyak 125 kes (1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sehingga kini, terdapat tiga kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

KKM juga merekodkan sebanyak 27 kes pulih menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 sebanyak 8,644 kes (96.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).