Pihak yang membangunkan tempat mandi di Kolam Air Panas Selayang di sini berputih mata selepas struktur dibina tanpa kebenaran itu dibersihkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada Khamis.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata pengusaha dikesan menceroboh dan membuat 12 tab mandi dengan kemasan lantai tanpa kebenaran.

"Aktiviti itu terbongkar hasil aduan awam dan Ahli Majlis MPS selepas pembinaan dilakukan dalam kawasan di bawah pentadbiran MPS dibuat tanpa sebarang permohonan.

"MPS bimbang binaan haram ini boleh mendatangkan bahaya kepada pengunjung disebabkan spesifikasi binaan yang tidak mempunyai sebarang kelulusan," katanya.

Menurutnya, MPS memberikan amaran kepada pemilik yang membina struktur atau binaan atas tanah kerajaan yang menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 46 (1) A Akta Jalan, Parit dan Bangunan.