Seramai 13.7 juta rakyat Malaysia tidak dilindungi dengan apa-apa polisi perlindungan keselamatan sosial, ujar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau menyifatkan angka berkenaan sebagai sesuatu yang membimbangkan.

"Caruman Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) misalnya, dengan kira-kira 6.3 juta pekerja, jika setiap pekerja mempunyai purata tiga orang dalam isi rumah, maka ia menjadikan sejumlah 18.9 juta rakyat Malaysia akan dilindungi perlindungan keselamatan sosial oleh Perkeso yang mana merangkumi sehingga 59 peratus daripada jumlah populasi," katanya semasa berucap merasmikan Forum Keselamatan Sosial Serantau ISSA untuk Asia dan Pasifik di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Laporan Perlindungan Sosial Dunia yang dilakukan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO)2017/2019 mendedahkan kira-kira empat bilion orang di seluruh dunia tiada perlindungan sosial dan angka itu merangkumi 55 peratus daripada populasi dunia.

"Di sebalik pembangunan ekonomi global yang pesat, saya juga merasa terkejut kerana masih ramai penduduk dunia yang tidak dilindungi oleh sekurang-kurangnya satu faedah perlindungan sosial," ujarnya.

Justeru kata Dr Wan Azizah, Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 dilihat mampu memberi perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja terutama mereka yang terlibat dengan pengendalian sistem e-hailing.

"Perkara ini perlu diberi tumpuan. Saya gembira kerana Perkeso telah memperkenalkan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 terutamanya pekerja seperti e-hailing. Ini menunjukkan Perkeso, sebagai sebuah badan keselamatan sosial peka dengan perubahan dan bersedia dengan usaha Malaysia ke arah Revolusi Industri 4.0," ujar beliau.

Malah tambahnya, Sistem Insurans Pekerja yang dilaksanakan Perkeso sejak 1 Januari juga telah memastikan kebajikan pekerja terpelihara.