Tiga belas daripada 88 hotel di Semenanjung Malaysia dikenal pasti menetapkan dasar 'standard grooming' yang melarang pekerja wanita bertudung.

Ini berdasarkan pemeriksaan antara tempoh Disember 2017 sehingga 26 Januari lalu.

Larangan itu membabitkan beberapa bahagian, khususnya di Bahagian Makanan dan Minuman (F&B) serta bahagian hadapan hotel.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot, berkata Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), menasihatkan 13 hotel terbabit mengambil tindakan pembetulan supaya tidak lagi melaksanakan larangan bertudung.

"Kementerian juga mengadakan perbincangan dengan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) pada 17 Januari lalu. Hasilnya, MAH memberi komitmen untuk menggesa semua pengusaha hotel di bawah MAH untuk tidak menetapkan sebarang dasar melarang pemakaian tudung di tempat kerja.

"MAH juga menggalakkan semua ahli untuk memasukkan pemakaian tudung sebagai pakaian seragam dalam kod etika berpakaian," katanya.

Kementerian memandang serius terhadap isu diskriminasi yang didakwa berlaku di kalangan majikan sektor perhotelan.

Sebagai langkah menangani diskriminasi di tempat kerja, cadangan Pindaan Akta Kerja 1955 susulan larangan bertudung dalam sektor perhotelan, dijangka dibentang pada sidang Parlimen dalam tempoh terdekat.