Seramai 14 orang maut sementara 16 lagi cedera dalam nahas bas ekspres yang terjunam ke dalam cerun sedalam 20 kaki di Kilometer 137, Lebuhraya Utara Selatan arah utara awal pagi ini.

Mangsa yang terkorban itu melibatkan tujuh wanita, enam lelaki termasuk pemandu bas serta seorang kanak-kanak perempuan.

Bas yang membawa 30 penumpang dari Johor Bahru ke utara tanah air itu dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam cerun sedalam 20 kaki.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, mangsa yang maut dan cedera telah dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) kira-kira 7.40 pagi tadi.

Azman berkata, sehingga kini pihaknya masih belum dapat menghubungi pihak pengurusan syarikat dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Mohd Yusof Mohd Gunnos berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 3.59 pagi dan tiba di tempat kejadian kira-kira 45 minit kemudian.

"Seramai 27 anggota bomba dari tiga balai iaitu Muar, Yong Peng dan Bukit Gambir dikejarkan ke tempat kejadian," kata Mohd Yusof ketika dihubungi di sini.

Tambahnya, operasi tamat sepenuhnya pada 7.10 pagi.

BACA: Bas dipandu laju sebelum hilang kawalan