Seramai 13 orang nelayan warganegara tempatan ditahan dalam satu operasi bersepadu membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri Kedah dan Perlis serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Langkawi di sekitar kawasan perairan pulau peranginan tersebut pada Selasa.

Kesemua yang ditahan didapati positif dadah jenis syabu dan heroin selepas ujian saringan air kencing dijalankan ke atas mereka.

Menurut Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksama Pertama Maritim Rozali Mohd Said, pihaknya telah melakukan saringan air kencing terhadap 60 individu yang bekerja sebagai kru kapal tangki minyak, kru feri penumpang dan juga nelayan di kawasan perairan Pulau Langkawi.

Operasi tersebut berlangsung selama 10 jam bermula 9 pagi Selasa.

Daripada jumlah terbabit, pihak AADK Daerah Langkawi serta Maritim Kedah dan Perlis mendapati 13 nelayan yang diperiksa, positif dadah jenis heroin dan syabu.

Jelasnya, kesemua yang ditahan telah menjalani proses dokumentasi berlandaskan prosedur yang ditetapkan pihak AADK.

Tambah Rozali, operasi yang dijalankan bertujuan membasmi penagihan dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan nelayan dan pekerja pekerja di kawasan perairan di samping mencegah beberapa jenayah maritim lain.

Selain itu, operasi bersepadu terbabit juga bertepatan dengan projek rintis AADK terutama di Pulau Langkawi dalam menangani masalah sosial berkaitan penyalahgunaan dadah.

Tegas beliau, pihak maritim turut tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang perairan negara dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan pengairan agar segera melaporkannya kepada pihak bertanggungjawab.