Seramai 13 pelajar Sekolah Kebangsaan Linggi, di Port Dickson yang disyaki keracunan racun serangga dikejarkan ke hospital selepas mengalami muntah-muntah petang ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata dianggarkan seramai 40 pelajar terlibat namun hanya 13 mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk rawatan.

Seramai tujuh pegawai dan anggota bomba bersama sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang dan enam pegawai dan anggota bomba bersama sebuah jentera Hazmat dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 ke lokasi kejadian.

"Bomba terima panggilan pada 2.13 petang dan tiba di lokasi lima minit kemudian. Kita terima panggilan daripada pihak hospital untuk bantuan membersihkan dan menyahkan racun daripada anggota badan mangsa.

"Sebelum kejadian, dilaporkan terdapat kerja-kerja meracun di kawasan berhampiran sekolah dan tidak lama kemudian pelajar mula menunjukkan simptom keracunan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata pelajar yang dibawa ke hospital difahamkan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

-- BERNAMA