Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan 13 projek jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir di negeri Pulau Pinang dengan anggaran kos sebanyak RM1 bilion.

Pengumuman itu dibuat Najib ketika membuat lawatan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Agama Rakyat Nyior Sebatang dekat Tasek Gelugor dan menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak akan membiarkan Pulau Pinang berada dalam kesusahan.

"Hasil perbincangan antara Kerajaan Pusat dan negeri kita akan menjalankan 13 projek bagi menangani masalah banjir di Pulau Pinang di masa depan dengan anggaran kos RM1 bilion," katanya.

Sementara itu, Najib mengakui bencana banjir yang melanda negeri itu adalah di luar kemampuan namun tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada sikap manusia.

"Saya ingin ingatkan kepada pemaju perumahan bahawa dalam mengejar keuntungan dan pembangunan, faktor alam sekitar perlu diberi perhatian bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

"Penduduk setempat juga diingatkan untuk sentiasa menjaga alam sekitar selain mengelak daripada membuang sampah sesuka hati," katanya.

Terdahulu, Najib tiba di Pulau Pinang sekitar jam 10.40 pagi dengan ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor sebelum di bawa ke Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah di Bukit Mertajam bagi mendengar taklimat.

Najib dalam ucapannya turut memberi jaminan akan terus menyalurkan bantuan kepada Pulau Pinang seperti mana yang dilakukan kepada Kelantan sewaktu berdepan bencana banjir.

Banjir di Pulau Pinang pada 5 November lalu merupakan yang terburuk dalam sejarah negeri itu dengan mencatatkan tujuh kematian.