Orang ramai yang ingin mendengar lantunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran terbaik daripada qari bertaraf antarabangsa dan nusantara dijemput untuk datang beramai-ramai ke Masjid Al-Hasanah pada 14 September ini.

Majlis anjuran bersama Masjid Al-Hasanah dan Yayasan Ar-Raudhah ini bakal menghimpunkan 13 qari dan qariah dari Malaysia dan Indonesia yang pernah melakar kejayaan di pelbagai peringkat tilawah antarabangsa.

Menurut pengurusan Masjid Al-Hasanah, program tersebut akan bermula selepas Maghrib di masjid berkenaan.

Daripada 13 qari dan qariah itu, lapan daripada mereka akan memperdengarkan bacaan Al-Quran secara bergilir iaitu empat daripada Malaysia dan empat daripada Indonesia.

Majlis "Haflatul Quran Nusantara" tersebut juga akan diselitkan dengan Tadabbur oleh Profesor Madya Dr Khairul Anuar Mohamad iaitu Pensyarah Kanan USIM yang juga merupakan hakim tilawah dan hafazan antarabangsa.

Antara qari yang hadir termasuklah Ahmad Tarmizi Ali yang pernah muncul johan Tilawah Al-Quran peringkat antarabangsa di Malaysia pada 2014 dan Maghribi pada 2011.

Selain itu turut hadir ialah Amirahman Abas iaitu johan Tilawah Peringkat Antarabangsa Malaysia 2011 dan Kuwait 2014.

Dari Indonesia pula ia akan disertai oleh Dawin Hasibuan yang juga pernah muncul johan di Malaysia dan Iran selain Muhammad Zaini Lubis dan Ahmad Mujahir.

Jelas pengurusan masjid tersebut, kesempatan itu diambil bersempena dengan lawatan qari dan qariah dari Indonesia yang hadir ke Malaysia pada tarikh tersebut.

Ia adalah julung kali diadakan dan bukan suatu yang mudah untuk mempertemu dan mengumpulkan qari-qari hebat dalam satu acara dalam satu malam bagi memperdengarkan bacaan mereka.