Seramai 61 penduduk dari 13 buah keluarga menempuh detik cemas selepas rumah yang dihuni mereka mengalami kerosakan akibat ribut di Kampung Landung Ayang, di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 petang Sabtu itu, turut mengakibatkan beberapa bumbung rumah penghuni tercabut diterbangkan angin kencang yang berkelajuan hampir 90 kilometer sejam.

Menurut Pegawai Daerah Kudat selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah, Sapdin Ibrahim berkata, keadaan cuaca beransur pulih sejam kemudian dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

"Dalam kejadian kira-kira 3.20 petang itu, 13 buah rumah yang didiami oleh 61 penduduk di Kampung Landung Ayang terjejas akibat dilanda ribut.

"Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan kita juga tidak membuka Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana kesemua mangsa yang terlibat kini berada di rumah saudara mara terdekat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.

Jelas beliau, pihaknya kini sedang menjalankan tindakan lanjut termasuk merujuk kesemua mangsa yang terlibat kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk bantuan sewajarnya.

Tambah Sapdin, antara agensi dan pasukan keselamatan yang terbabit dalam operasi membantu mangsa ribut itu adalah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).