JOHOR BAHRU: Seramai 137 calon Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) 2021 dari Sekolah Agama Kerajaan Johor memperoleh keputusan cemerlang dengan tujuh agregat, berbanding hanya 66 orang pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata jumlah calon lulus keseluruhan adalah seramai 16,429 orang, manakala gagal seramai 3,248 orang.

Beliau berkata daerah terbaik SDKA 2021 adalah Pontian dengan peratus kelulusan 98.55 peratus dan (Gred Purata Sekolah) GPS 1.46.

"Pelajar terbaik peperiksaan SDKA 2021 ialah Alia Nur Batrisya Mohd Ilyas dari Sekolah Agama Taman Mawar di sini yang memperoleh tujuh agregat iaitu 12A dalam 12 mata pelajaran dengan peratus kelulusan 95.17 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau bilangan calon mendaftar untuk peperiksaan SDKA 2021 adalah seramai 20,404 orang, bagaimanapun hanya 19,677 calon hadir menduduki peperiksaan sijil berkenaan.

Darjah Khas Agama diwujudkan pada 1923, merupakan peringkat lanjutan dan tertinggi bagi sukatan pelajaran Sekolah Agama Kerajaan Johor untuk pelajar yang telah tamat sekolah agama dari Darjah Satu hingga Darjah Enam.

-- BERNAMA