Sebanyak 127 kemalangan maut dicatatkan di seluruh negara dalam tempoh sembilan hari Op Selamat 16/2020 sempena perayaan Tahun Baharu Cina, membabitkan 138 kematian.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, berkata daripada keseluruhan jumlah kematian, pembonceng dan penunggang motosikal mencatat jumlah tertinggi dengan 94 kematian.

Katanya, dalam tempoh sembilan hari, sebanyak 14,087 kemalangan dicatatkan di seluruh negara dengan kemalangan tertinggi dilaporkan berlaku di Selangor membabitkan 4,089 kes, Johor (2,194) dan Kuala Lumpur (1,616).

“Sebanyak 127 kemalangan maut dicatatkan membabitkan 138 kematian, manakala 80 mangsa dilaporkan cedera parah dan 140 lagi cedera ringan.

“Selangor mencatatkan 24 kemalangan maut, Johor dan sarawak masing-masing 16, dengan keseluruhan kenderaan terbabit kemalangan seluruh negara adalah sebanyak 20,889 buah, katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Untuk tempoh sama, katanya sebanyak 233,454 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dengan 62.5 peratus atau 146,008 saman dikeluarkan atas enam kesalahan utama kesalahan jalan raya.

“Kebanyakan saman dikeluarkan atas kesalahan menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak patuh lampu isyarat dan memandu lebih had laju.

“Selain itu, kesalahan memandu di lorong kecemasan, memotong barisan dan memotong di garisan berkembar turut menyumbang kepada jumlah saman tertinggi,” katanya lagi.