Seramai 138 petugas Kementerian Kesihatan Malaysia telah disahkan positif COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun, jelasnya lagi, tiada kes yang berpunca daripada pengendalian kes yang disahkan positif dari wad COVID-19 dan unit rawatan rapi (ICU) di fasiliti KKM.

Dalam sidang media harian berkenaan COVID-19 di Putrajaya hari ni, Dr Noor Hisham berkata, 58 kes atau 42 peratus dari jumlah 138 kes itu, adalah berkaitan dengan majlis perkahwinan yang dihadiri oleh individu yang mempunyai sejarah menyertai perhimpunan di Seri Petaling.

14 kes (10.1 peratus) pula, kata beliau, adalah berkaitan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk, dan kes bergejala ringan di mana, mereka tidak tahu atau tidak memaklumkan status mereka.



“Dua kes daripada kumpulan ini tidak memaklumkan yang mereka telah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling,” kata Dr Noor Hisham.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi mengingatkan petugas barisan hadapan, termasuk pengamal perubatan swasta dan NGO, yang merawat pesakit, untuk menggunakan penutup hidung dan mulut (face mask).

“Anggota kesihatan juga perlu mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti yang telah disarankan terutamanya dalam memastikan tangan sentiasa bersih, mengamalkan penjarakan sosial (social distancing) dan pemakaian alat pelindung diri (PPE) mengikut keperluan, terutama ketika melaksanakan prosedur klinikal,” katanya lagi.

Beliau juga turut menyeru orang awam yang datang untuk mendapatkan rawatan memberi maklumat secara jujur mengenai sejarah kontak rapat kes positif COVID-19, kehadiran ke mana-mana perhimpunan dan sejarah perjalanan ke luar negara.