Sejumlah 14 premis judi tidak berlesen di sekitar Alor Setar diserbu Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman membabitkan kutipan jualan RM2.6 juta setahun.

Menurut Ketua Penolong Pengarah STAGG, Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, serbuan Ops Dadu Keriang itu dijalankan di sekitar daerah Kota Setar bermula jam 4 petang sehingga 7 petang secara serentak di 14 premis terbabit selepas menerima maklumat berhubung pengoperasian premis terbabit.

Hasil serbuan, seramai 20 penjaga premis terdiri 13 lelaki dan tujuh wanita berusia 33 hingga 57 tahun ditahan.

Polis turut merampas wang pertaruhan sebanyak RM11,385 bersama 32 telefon bimbit, mesin pencetak, mesin kira-kira dan peralatan perjudian.

Premis ini dipercayai menjalankan penjualan nombor secara terbuka di bahagian hadapan dan belakang kedai.

Hasil kutipan penjualan harian dianggarkan RM15,000 dan kutipan bulanan RM180,000 manakala tahunan RM2.6 juta.

Kedai barang runcit, kedai telefon dan restoran atau kedai kopi adalah sasaran penjualan judi ekor haram.

Kesemua tangkapan dan barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Sementara itu, Ketua Polis Negara melalui laman sosial Twitternya turut mengucapkan syabas kepada STAGG atas kejayaan serbuan itu.