Sebanyak 143 kematian direkodkan daripada 99,166 kes denggi yang dicatatkan di seluruh negara sejak awal Januari hingga Selasa lepas (24 Sept).

Ketua Sektor Penyakit Bawaan Vektor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Rose Nani Mudin berkata jumlah itu mencatatkan peningkatan ketara berbanding tahun lepas bagi tempoh yang sama dengan 89 kematian daripada 54,379 kes denggi.

Beliau berkata, Selangor mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 54,997 kes dengan 48 kematian berbanding 30,782 kes dengan 25 kematian bagi tempoh yang sama tahun lepas.

"Bilangan kes kedua tertinggi ialah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu 12,366 kes dicatatkan berbanding 5,292 kes tahun lepas dengan jumlah kematian tidak berubah iaitu tujuh kes juga bagi tempoh yang sama

"Johor adalah negeri ketiga tertinggi dengan merekodkan 8,480 kes tahun ini berbanding 4,152 kes tahun lepas dan jumlah kematian pula meningkat daripada 13 kematian kepada 22 kematian bagi tempoh sama," katanya ketika dihubungi Bernama.

Dr Rose Nani berkata trend peningkatan kes denggi yang berlaku itu juga fenomena global yang dialami di beberapa negara lain.

"Peningkatan kes denggi ini bukan hanya berlaku di negara ini tetapi beberapa negara seperti Thailand, Singapura, Taiwan, China juga meningkat seperti yang dilaporkan WHO (World Health Organization).

"Kalau nak dibandingkan dengan negara lain, peningkatan kes yang berlaku di negara kita masih rendah yang mana negara lain ada yang mengalami peningkatan sehingga lapan kali ganda. Tetapi, kita turut bimbang dengan trend ini kerana apabila berlaku peningkatan kes, sudah pasti bilangan kematian pun akan meningkat dan kita tak mahu perkara ini berlaku," katanya.

Bagi mengurangkan kes denggi, Dr Rose Nani berkata langkah pencegahan perlu dilakukan di setiap kediaman bagi memastikan tiada kawasan pembiakan aedes.

"Kita tak ada vaksin dan ubat yang boleh cegah denggi tetapi sekurang-kurangnya kita dapat hindarkan kawasan pembiakan aedes.

"Kalau boleh, buanglah bekas yang menakung air. Pasu bunga hendaklah dicuci setiap minggu supaya kita dapat hapuskan telur nyamuk sekiranya nyamuk telah bertelur dalam pasu bunga yang ada," katanya yang turut menyarankan orang ramai menggunakan semburan aerosol dalam rumah bagi membunuh nyamuk.

-- BERNAMA