Seramai 148 mangsa termasuk tujuh bayi dan warga emas dari Taman Mangga di Juru, Pulau Pinang dipindahkan ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh, kesemua mangsa terdiri daripada 60 keluarga kini ditempatkan di Dewan SJKC True Light dan Sekolah Kebangsaan Juru.

Kedua-dua PPS itu dibuka mulai jam 11 malam Ahad berikutan kawasan mereka dinaiki air akibat hujan lebat.

Phee berkata mangsa terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan semuanya selamat dipindahkan.

Kesemua mangsa yang dipindahkan terdiri daripada 41 lelaki dewasa, 55 wanita dewasa, tujuh bayi, 21 kanak-kanak lelaki dan 20 kanak-kanak perempuan, serta empat warga emas.

Sejumlah 115 mangsa daripada 27 keluarga ditempatkan di PPS SJKC True Light manakala 33 mangsa daripada sembilan keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Juru.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang memaklumkan banjir kilat berlaku di Taman Mangga, Bukit Tengah itu berpunca dari limpahan air sistem perparitan.

Limpahan tersebut menyebabkan air telah masuk ke dalam beberapa buah rumah dengan ketinggian air 0.5 meter.

Terdahulu, hujan lebat di Pulau Pinang menyebabkan banyak kawasan di negeri itu dilanda banjir kilat.

Hujan lebat yang turun bermula jam 3 petang menyebabkan kawasan di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Georgetown dinaiki air di antara 0.1 hingga 0.5 meter.

Beberapa rumah di daerah Seberang Perai Utara turut mengalami kerosakan akibat ribut.