Kes jangkitan COVID-19 baharu kekal pada angka dua digit dengan 15 kes direkodkan setakat pukul 12 tengah hari Isnin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara membabitkan warganegara Malaysia.

Kesemua 13 kes penularan tempatan pula katanya, membabitkan warga asing.

"Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,587 kes.

"Kita juga ingin memaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian yang disebabkan COVID-19 dan jumlahnya kekal 121 kes atau 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu, sebanyak 21 individu yang pulih dibenarkan discaj dalam tempoh 24 jam.

Oleh itu kata beliau, jumlah kemulatif kes pulih setakat Isnin adalah 8,177 kes atau 95.2 peratus.

Sementara itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 di negara ini pula katanya, hanya tinggal 289 kes sahaja.

Tambah beliau, sehingga hari ini hanya dua individu sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) manakala tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.


Perincian kes jangkitan dalam negara dalam kalangan bukan warganegara adalah seperti berikut:

• Selangor: Satu kes saringan prapembedahan di Hospital Selayang.

• Negeri Sembilan: 12 kes daripada kluster Pedas.