Cubaan tekong bersama 14 awak-awak warganegara Vietnam menceroboh perairan Malaysia untuk melakukan aktiviti perikanan haram gagal apabila kesemua mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim 17 Sandakan (DM17) berhampiran Pulau Billean semalam.

Pengarah Maritim DM 17, Kapten Maritim A. Razak bin Abd Rahman berkata, Kapal Maritim Malaysia yang melakukan rondaan Ops Pluto Timur mengesan tiga buah bot nelayan disyaki nelayan asing sedang menuju ke sempadan Malaysia-Filipina kira-kira pukul 3.18 petang.

"Kapal Maritim menuju ke lokasi bot nelayan untuk melakukan pemeriksaan rutin namun bot berkenaan bergerak laju dan tidak mengendahkan arahan lisan dan isyarat tangan penguatkuasa APMM.

"Insiden mengejar bot nelayan itu berlanjutan selama 45 minit dan turut membahayakan nyawa anggota penguatkuasa kerana bot nelayan tersebut bertindak berani dengan melanggar kapal milik Maritim Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Atas faktor keselamatan, anggota penguatkuasa melepaskan tembakan amaran ke udara beberapa kali namun hanya sebuah bot sahaja yang memperlahankan pergerakan manakala dua lagi terus meluncur laju ke luar sempadan Malaysia-Filipina.

Menurut A. Razak, penggeledahan ke atas bot nelayan tersebut dilakukan sebaik berjaya memintas pergerakannya dan mendapati kesemua 15 orang awak-awak termasuk tekong warganegara Vietnam berumur dalam lingkungan 20-40 tahun gagal menunjukkan sebarang pengenalan diri dan dokumen perjalanan yang sah.

Tambahnya, hasil pemeriksaan teliti yang dilakukan, APMM menjumpai pemampat udara, panah untuk menembak ikan dan kaki itik untuk kegunaan menangkap ikan dengan cara menyelam sambil memanah ikan di dasar laut.

Bot berkenaan diiring masuk ke Jeti DM17 untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia dan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985.