Seramai 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan ketika cuba keluar dari negara mengikut laluan yang tidak diwartakan di kawasan hutan pesisir Pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar, Kota Tinggi, di sini pagi tadi.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata mereka yang terdiri daripada tujuh lelaki dan lapan wanita warga Indonesia yang berumur di antara 22 dan 42 tahun ditahan pada pukul 2 pagi.

"Mereka mengaku mahu pulang ke Indonesia dengan menggunakan bot pancung dan telah dibawa ke Balai Polis Bandar Penawar untuk tindakan selanjutnya," kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, mereka didapati gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, berada dalam negara melebihi tempoh yang dibenarkan dan cuba keluar dari negara tidak mengikut laluan yang diwartakan.

-- BERNAMA