Seramai 120 individu kehilangan tempat tinggal selepas rumah kongsi didiami mereka mengalami kebakaran di Jalan Daun Inai, Desa Park City, ibu negara, awal pagi Jumaat.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.38 pagi.

“Seramai 40 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas, Jinjang, Sentul, Hang Tuah bersama empat buah jentera FRT digerakkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan 15 buah rumah kongsi yang didiami oleh pekerja buruh binaan dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 11.10 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, PGO JBPM Kuala Lumpur berkata, kebakaran tidak melibatkan kemalangan jiwa.

“Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” jelasnya.