Lebih 150 murid di beberapa kampung di Gua Musang, Kelantan tidak dapat memulakan sesi persekolahan baharu sejak semalam selepas terkandas apabila jalan di kampung berkenaan dinaiki air.

Ia berikut limpahan air Sungai Galas yang meningkat dengan cepat sejak awal pagi Isnin berikutan hujan berterusan.

Kesemua murid itu bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 1, SK Limau Kasturi 2, SK Sungai Asap, SK Aring, SK Pasir Linggi dan SK Star dan SK Tengku Bendahara.

Setakat ini, banjir telah menjejaskan beberapa kawasan iaitu Kampung Limau Kasturi, Felda Aring dan Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir.

Dalam pada itu, jambatan sementara Pulau Setelu pula ditutup kepada semua kenderaan selepas air sungai Nenggiri melimpahi jambatan itu sejak 6 pagi tadi.

Portal ebanjir Kelantan melaporkan setakat ini, 11 keluarga membabitkan 37 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di SK Limau Kasturi 2.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Taufik Maidin mengesahkan kejadian banjir di dua kawasan iaitu di kawasan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh dan Limau Kasturi.

Katanya, buat masa ini, semua anggota keselamatan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi memastikan bantuan dapat disalurkan segera.