Sebanyak 158 kes demam denggi dicatat sehingga 17 Jun ini di negeri ini, berbanding 1,533 kes yang direkodkan bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Terengganu, Roslee Daud berkata ini menunjukkan penurunan bilangan kes sebanyak 89.8 peratus berbanding tahun lalu, manakala hanya satu kematian dicatat dalam tempoh itu tahun ini, berbanding 13 kematian pada 2016.

"Menerusi jumlah itu daerah Kuala Terengganu menunjukkan kes tertinggi sebanyak 54 kes, diikuti Besut (33 kes) , Dungun (21), Kemaman (16), Marang (10), Kuala Nerus, (sembilan kes), Setiu (lapan) dan Hulu Terengganu tujuh kes," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Ops Selamat, di sini, semalam.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri juga telah memeriksa 4,003 premis dan 1,278 daripadanya didapati premis positif tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Katanya 732 premis dicadangkan dikenakan kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, manakala 1,381 notis amaran pembersihan di bawah Seksyen 8 dikeluarkan kerana berpotensi sebagai kawasan pembiakan nyamuk Aedes.

Beliau berkata setakat ini daripada jumlah premis yang dikompaun, sebanyak RM30,530 kompaun telah dibayar.

Roslee berkata sepanjang musim perayaan ini pihaknya mengingatkan orang ramai bagi memastikan tiada bekas atau tempat yang berpotensi menjadi kawasan pembiakan Aedes.

Bagi takungan air yang besar dan kekal seperti tangki air atau kolah mandi dinasihatkan supaya memasukkan ubat jentik-jentik serta memastikan longkang persekitaran rumah diuruskan dengan baik, katanya.

"Bagi mereka yang mengalami demam, dapatkan rawatan segera di klinik atau hospital untuk mencegah daripada komplikasi demam denggi dan juga kematian akibat denggi," katanya.

Sementara itu, beliau memberi jaminan bekalan darah dan ubat-ubatan adalah mencukupi sepanjang musim perayaan ini, begitu juga dengan bilangan petugas di hospital seluruh negeri.

-- BERNAMA