Sebanyak 16 jenis barangan telah disenaraikan dalam Skim Kawalan Harga Barang sempena sambutan Deepavali pada 6 Nov ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, pelaksanaan skim itu akan berkuat kuasa selama seminggu dari 3 Nov.

Pelaksanaan membabitkan 91 daerah di Semenanjung, Sarawak (32), Sabah (27) dan satu daerah di Labuan.

Antara barangan yang disenaraikan termasuk ayam hidup, ayam standard, daging kambing import, telur ayam gred A dan C, kacang dal, bawang import dan cili merah.

"Peniaga diwajibkan menjual barangan terbabit tidak melebihi harga maksimum dan meletakkan tanda harga khas merah jambu bagi membezakannya dengan barangan lain," katanya pada sidang media selepas melancarkan skim tersebut di sini, hari ini.

Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, seseorang individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000, manakala sesebuah syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Bagi kegagalan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu pula, individu boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000 bagi individu, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

Kementerian juga akan menempatkan pegawai bagi memantau peniaga yang tidak mematuhi peraturan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Sebarang aduan, orang ramai boleh terus menghubungi talian bebas tol 03-88826245 atau WhatsApp di 019-2794317.