KUALA LUMPUR:Sarawak hari ini merekodkan pertambahan 16 lagi kes positif COVID-19. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes yang dicatatkan di negeri itu kepada 819 kes sejak kes pertama dikesan pada 13 Mac lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas memaklumkan Kluster Baki mencatat kes positif COVID-19 tertinggi dengan12 kes.

"Kes-kes ini telah menjalani saringan pada 24 Oktober 2020 dan keputusan ujian rT-PCR COVID-19 pada 25 Oktober2020 mendapati mereka positif COVID-19." jelas Uggah dalam sidang media harian JPBN Sarawak, di Kuching.

Tambahnya kesemua kes merupakan kontak rapat kepada kes indeks Kluster Baki.

"Kes-kes ini adalah dalam lingkungan umur tujuh hingga 75 tahun.

"Tiga merupakan pelajar sekolah rendah, dua pelajar sekolah menengah, lima orang dewasa dan dua warga emas," jelas Uggah.

Daripada 12 kes ini hanya satu yang mempunyai tanda dan gejala.

Kesemua kes telah dimasukkan ke wad pengasingan Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.

Untuk rekod, 845 individu telah disaring semasa aktiviti pengesanan secara aktif yang telah dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak di Kampung Haji Baki pada 25 Oktober 2020.

Setakat ini 25 individu disahkan positif, 744 negatif dan 101 individu yang di saring masih menunggu keputusan ujian makmal.

BACA: PKPD di Kampung Haji Baki, Kuching bermula 28 Okt hingga 10 Nov 2020.

Sementara itu tiga lagi kes baharu dikesan melalui saringan kontak rapat kepada kes ke-798 yang telah dilaporkan pada 26 Oktober 2020.

Ketiga-tiga kes didapati positif selepas disaring di fasiliti kesihatan swasta di sini pada  26 Oktober dan disahkan positif pada hari yang sama.

Jelas Uggah, kes-kes ini tidak mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan berisiko jangkitan COVID-19.

"Sehingga punca jangkitan diketahui, kes-kes ini akan dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan berdasarkan sejarah awal pergerakan kes," ujarnya.

Dalam pada itu satu lagi kes dikesan melalui aktiviti pengesanan aktif yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak pada 25 Oktober lepas.

Kes merupakan seorang lelaki tempatan yang berniaga di salah satu kawasan perniagaan terkemuka di Kuching.

"Kes telah menjalani saringan pada 25 Oktober 2020.

"Keputusan ujian rT-PCR pada 26 Oktober 2020 telah mendapati kes adalah positif COVID-19," tambahnya.

Kes juga tiada sejarah perjalanan ke kawasan berisiko jangkitan COVID-19 dan tidak mempunyai kontak dengan kes positif COVID-19.