Cubaan sebuah syarikat pengimport membawa masuk 16 tan lemak babi dari Belanda gagal selepas ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau
Pinang.

Dalam pemeriksaan rutin di pintu masuk Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) Pulau Pinang jam 9 malam Isnin lepas, sebanyak 16,200 kilogram lemak babi bernilai RM110,456.37 telah disita untuk tindakan lanjut.

Menurut jurucakap MAQIS, rampasan itu dibuat selepas pihaknya mendapati produk dagangan itu tidak mematuhi syarat import sepertimana yang dinyatakan pada permit import MAQIS.

"Pemeriksaan pihak MAQIS mendapati tiada nama dan alamat loji dinyatakan pada label pembungkusan tersebut.

"Siasatan mendapati lemak babi itu dibawa masuk ke negara ini dipercayai untuk bahan pembuatan biskut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta728).

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 15(2) Akta yang sama.